Rabu, 22 Jun 2011

Keyakinan Berakhlak

Assalamualaikum buat semua. Kesyukuran setingginya dipanjatkan kepada Rabbul Alamin dan selawat ke atas Rasulullah saw yang dikasihi. Semoga kita masih dalam lembayung rahmat dan hidayahNya.

Banyak faktor dalam pembentukan akhlak yang baik. Semakin banyak faktor-faktor itu terkumpul dalam proses pembentukan maka semakin mudah dan cepat menghasilkan akhlak tersebut. Sebaliknya semakin sedikit atau saling tidak searah tujuannya maka semakin kurang kesan dan pengaruhnya. Faktor-faktor itu pula berlainan dan berbeza dari segi kuat dan lemahnya kesan dan pengaruh kepada pembentukan. Faktor keturunan, umpamanya adalah amat kecil kesan dan pengaruhnya jika dibandingkan dengan faktor alam persekitaran.

Terdapat empat situasi yang ana ingin bawakan dan keempat-empat situasi ini berkait rapat dalam kehidupan kita.

Situasi 1

“Assalamualaikum ukhti. Bagaimana khabar kamu serta suami dan anak-anakmu sekarang?”, Haslina bertanya kepada sahabat karibnya sebaik kaki melangkah menziarahi temannya itu. “Alhamdulillah, semuanya baik..anugerah dari Allah perolehi suami yang boleh membimbing dan anak-anak yang medengar nasihat”. Jawab Sakinah beserta senyuman kebahagiaan terpancar di wajahnya.

Situasi pertama adalah faktor keturunan. Yang dimaksudkan dengan keturunan ialah perpindahan beberapa sifat tertentu yang khusus dari datuk nenek kepada zuriat keturunannya. Atau pepindahan beberapa sifat yang ada dalam benih ibu bapa.
Berdasarkan kepada hakikat ini maka syariat Islam telah menganjurkan supaya:

•Memilih bakal-bakal isteri/suami yang mempunyai nilai akhlak yang baik
•Kepada suami supaya memilih isteri-isteri yang salihah dan mempunyai nilai agama
•Menasihatkan ibu bapa supaya segera menikahkan anaknya itu dengan orang yang mempunyai nilai-nilai akhlak dan agama
•Menasihati mereka supaya menikahi perempuan yang subur melahirkan anak
•Melarang menikahi perempuan yang tidak menjaga kehormatan diri. Al-Quran menegaskan bahawa orang perempuan yang suci kehormatannya adalah untuk laki-laki yang suci kehormatannya, dan begitulah sebaliknya. Perempuan yang baik adalah untuk laki-laki yang baik

Situasi 2

Firdaus dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman yang damai dan jauh dari bandar dan kota. Membawa pulang 3 orang anaknya pulang bersama. Seorang lagi anak mereka tinggal bersama neneknya di kampung. Setibanya di kampung halaman, disambut dengan anaknya, Mohd. Mohd menyalami kedua orang tuanya dan adik-adiknya.

“kau nak pergi surau ye?” Tanya ayah kepada Firdaus melihat pada pemakaian anaknya yang berkopiah. “aah, ayah. Masuklah ke dalam, nenek dan atuk menunggu. Semua bergerak masuk ke rumah sementara Mohd menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardhu zohor. Dalam hatinya sempat beristighfar dan memohon doa agar adik-adiknya beroleh kesedaran untuk meninggikan syariat Allah. Dia ingin adiknya yang perempuan dan lelaki dapat menutup aurat, dan boleh menjaga solat masing-masing.

Mohd sedar dia hanya mampu berdoa dan menunjukkan akhlak yang baik depan ahli keluarganya.
Situasi di atas ialah faktor tempat. Faktor ini termasuk dalam faktor persekitaran. Mohd telah dibesarkan oleh atuk dan neneknya di kampung, jauh dengan kehidupan di bandar yang penuh dengan fitnah dan cabaran.

Situasi 3

“Aku berasa tak yakin dengan diriku sendiri” keluh Hafiza besendirian sebaik duduk birai katilnya di asrama. “Aku bingung sebenarnya dengan identiti sendiri, aku belajar di sekolah ini pelbagai ilmu agama…tauhid, feqah, tafsir, sirah. Tetapi bila pulang ke rumah, semua perkara itu terbang entah ke mana. Ibuku yang tidak menutup aurat, ayahku yang selalu tinggal solat, abang-abang yang kuat bersosial dan adik-adik yang tidak mendengar nasihat. Aku tidak punya keyakinan untuk melakukan ketaatan kepada Allah di rumah”. Hati Hafiza berbisik sendiri diiringi air mata jernih yang mula mengalir keluar dari matanya. Hatinya sebak dan sedih dengan keadaan itu.

Lama dia begitu sehingga disapa oleh sahabatnya lalu diseka air matanya dan senyuman diukir menatap wajah sahabatnya itu. “Kenapa ni Hafiza?”. Fadilah bertanya sebaik melihat Hafiza dalam keadaan sedih. “tidak ada apa-apalah” cepat Hafiza menjawab lantas tangan Fadilah dicapai dan Hafiza mengajaknya keluar bersama.

Begitulah sikap Hafiza, menyembunyikan permasalahan yang dialami di rumah kerana ingin menjaga keluarganya dan berpura-pura menceriakan wajahnya dengan sahabatnya.
Situasi ini ialah faktor keluarga. Tidak ada keyakinan dalam diri akibat tidak mendapat sokongan dari ahli keluarga untuk berubah kepada kebaikan. Namun, jika pengaruhnya dengan ilmu yang dipelajari dan praktikalnya di asrama dilakukan dengan keihklasan, ia akan dapat membantu Hafiza kuat untuk berada di rumah. Tetapi, jika sokongan dari sahabatnya kurang…dia akan melemah dan keyakinannya akan semakin berkurang.

Situasi 4

“Sekarang tazkirah kita sudah selesai. Kita akan pergi kepada musykilah. Jadi ana akan bertanya mula dari sebelah kanan ana”. Ukhti Muslimah berbicara sambil tangannya mengisyaratkan Jamilah untuk memulakan sesi permasalahan. Jamilah mula menceritakan permasalahan yang dialami dan mendapat penyelesaian dari ukhti Muslimah, dan sahabat-sahabatnya yang lain. Dia juga mendapat suntikan semangat dari sahabat-sahabatnya buat bekalan di kemudian hari.

Selesai berbincang, Jamilah bersalaman dengan semua. Dia merasakan ada kekuatan dalaman yang sangat kuat ditambah dengan tazkirah yang didengar beserta dalil Al-Quran dan hadith yang amat menyentuh sanubarinya. Walaupun wujud permasalahan besar dengan keluarganya, dia tetap kuat dan menjadikan itu semua ujian yang diberikan dan berusaha menunjukkan akhlak yang baik di rumah. Dalam doanya tidak akan pernah tinggal keluarganya..semoga semuanya dapat memperolehi keyakinan sepertinya.

Situasi ini ialah faktor sahabat dan teman sejati. Ada yang memberi semangat tika diri lemah. Saling bahu membahu dan nasihat menasihati tika diperlukan. Susah senang bersama. Dalam sesetengah keadaan sahabat lebih diberi kepercayaan dari keluarga. Islam juga menitik beratkan sahabat dalam al-Quran dan Hadith. Di antaranya

Hadith al-Bukhari dari Abu Musa al-Asyari yang bermaksud, Sahabat yang salih itu ibarat penjual minyak wangi, bila engkau tidak mendapat minyak wangi darinya, maka engkau mendapatkan bau harumnya. Dan sahabat yang jahat itu ibarat tukang besi, bila engkau tidak terkena percikan apinya, maka engkau akan terkena asapnya.

Dalam al-Quran saurah al-Taubah ayat 119 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar

Bukan di mana situasi yang perlu kita ambil tetapi penyelesaian dan keyakinan yang perlu kita bina sekarang. Tidak kira kita berada di situasi mana Allah berfirman dalam al-Quran:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. (QS. Al-Hujuraat: 13)

Kita hari ini perlu lebih baik dari semalam. Jika kita dalam situasi yang tidak ada keyakinan, kita perlu bangkit untuk mencari sahabat yang boleh ingatkan. Mencari ilmu agama dan mengamalkan, membaca al-Quran dan memahami maksud tafsirannya. Orang yang paling mulia adalah yang paling bertakwa. Jika ayah kita ulama’, ibu kita ustazah, belum tentu kita anaknya memperolehi pangkat yang mulia tanpa usaha. InsyaAllah kita semua perolehi akal untuk berfikir, hati untuk memahami apa yang Allah aturkan untuk kita. Jika kita kata kita lemah sebab tiada sahabat yang mengingatkan kita, kita salah. Kerana kita masih punya Allah yang Maha Mendengar segala bisikan hati. Berdoalah moga kita masih lagi perolehi RahmatNya dan pertolonganNya. Astaghfirullah al-azim.

Isnin, 20 Jun 2011

Assalamualaikum kepada semua yang merindui dan dirindui..
sudah lama tidak mengupdate penulisan di sini. Dalam diam bukan menyepi..dalam diam bukan berfantasi..tetapi dalam diam itu menimba dan mencari..ilmu Allah luas yang tak pernah bertepi.

Ahad, 5 Jun 2011

KASIHKU

KasihNya membawa berjuta Rahmat ke seluruh alam.

Kasih,
Kau umpama jalan yang menghubungkan
Hati-hati yang suci dan murni,

Kasih,
Kau umpama bintang-bintang dimalam hari
Yang menyinari alam kelam ku.

Kasihmu IBU.
Menyayangi hidupku diakhirat sana,

Kasihmu AYAH,
Terbakar hingga ke pintu syurga,

Kasihmu GURU,
Terang bahagia hidupku nanti.

Kasihmu SAHABAT,
Pendengar segala rintihan kasih.

Kau...penawar jiwa...,
Kau...sinar segala-gala..,
Andai tiadamu didunia,
Hidupku kelam tidak barbunga,
Tawar tiada gelora.

Merindui KASIH selama-lamanya,
Bisikan dari hati,
Biarlah mengharum KASIH ini..,
Sehingga ke SYURGA,
Alam yang lebih mengindahkan dan mendamaikan.

Kasih di sisiku,
Sentiasa disemai rasa berbakti.

Kasih yang jauh,
Sentiasa dipanjatkan doa.

Semoga Kasih dan Rindu yang bergetar,
Membawa Redha Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

nukilan: Ja'a Nasrullah

Assalamualaikum

Nama

E-mel *

Mesej *

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...