Ahad, 25 April 2010

Pandangan Allah



Segala puji bagi Allah swt, Tuhan semesta alam, dan selawat dan salam sejahtera buat Rasulullah SAW, para tabien, para ulama dan para kekasih Allah yang telah banyak mengorbankan diri mereka demi untuk melihat umat manusia terus menerus tidak terlena dengan mainan dunia.

Iman Nawawi telah menyatakan bahawa zaman manusia ini terbahagi kepada 4 bahagian;
1) Zaman orang yang sedikit bercakap tetapi banyak beramal – zaman Rasulullah SAW dan para sahabat
2) Zaman orang banyak bercakap dan banyak beramal – zaman tabien
3) Zaman orang banyak bercakap dan kurang beramal
4) Zaman orang tidak bercakap dan tidak beramal

Mereka yang sudah makrifatuLlah (benar-benar mengenal Allah) sahaja akan merasai ketenangan apabila datangnya panggilan Tuhan yakni sakratulmaut, sehingga dia merasai kelazatan apabila kembali kepada Allah swt, ibaratnya seorang yang terlampau dahaga lalu diberi minuman. Manakala mereka yang hatinya tidak disucikan dengan nur makrifat, hati mereka penuh dengan sifat-sifat kekotoran (mazmumah), mereka menemui Tuhan dengan penuh penyelesalan dan tangisan.


Berkata Imam al-Ghazali di dalam kitab Minhajul ‘Abidin, ramai manusia yang meninggal dalam keadaan berdosa besar. Mereka tidak bertaubat dengan maksiat batin seperti dosa cinta dunia, takabur, hasad, dendam, bakhil dan tamak. Mereka takut dan bimbang apabila didatangi maut, ruh mereka masih kelam dan buta tentang Tuhan, mereka mati dalam keadaan azab kecuali diberi rahmat oleh Allah.



Segala penilaian Allah pada diri insan ini adalah hati. Allah tidak melihat amal (solat) beribu rakaat atau sedekah berbillion ringgit, (tetapi) Allah menilai keikhlasan hati. Allah tidak mengharamkan kita mengambil dunia tetapi Allah melarang kita mencintainya. Justeru itu, selamatkanlah diri dari bahaya yang berada dihadapan dengan menumpukan (kepada) ilmu yang memberi manfaat, ilmu yang memberi keselamatan di akhirat nanti.

Allah tidak memandang banyaknya hafalan, banyaknya hujah, banyaknya kitab, banyaknya ilmu, banyaknya tulisan blog, sijil dan anugerah tetapi Allah melihat ketulusan hati, Allah melihat kehambaan, Allah melihat benarnya yakin padaNya, benarnya tawakal padaNya, benarnya sabar kepada takdirNya, benarnya syukur pada nikmatNya, benarnya zuhud, benarnya cinta padaNya, benarnya dalam tawaduk, benar dalam ibadah, benar dalam keikhlasan, benar dalam berdakwah kepada manusia. Hatinya tidak menyenangi sesuatu yang lain dariNya, ia melakukan dakwah dan jihad adalah kerana tanggungjawab agama, bukannya untuk kesenangan nafsu, bukan kerana suka pada pujian, suka dikenali, suka manusia mengetahui kelebihan dirinya, suka diziarahi oleh manusia, suka didampingi oleh mereka yang berpangkat dan berharta. Semua sifat-sifat batin di atas menjadi keutamaan penilaian Allah.

Jika tidak berhati-hati dan bersungguh-sungguh menyucikan hati, nescaya akan dibuka pekung dadanya di akhirat nanti.

Firman Allah :
“Pada hari yang dibuka segala rahsia (hati kamu).” (At-Tariq : 9)

Mereka akan ditimpa bala, mereka akan dicap munafik, amal ditolak dan Allah berpaling dari mereka. Mereka yang tenang menghadap Allah di akhirat adalah (yang memiliki) hati yang salim (sejahtera), mereka yang tenang ketika dipanggil oleh Allah ialah (yang memiliki) Nafsu Mutmainnah.

Firman Allah :
“Wahai nafsu yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan kamu redha dan Allah meredhai kamu, maka masuklah kamu ke dalam (jamaah) hamba-hambaKu, dan masuklah kamu ke dalam syurgaku.” (Al-Fajr : 27-30)

Ya Allah Ya Tuhanku, lemahnya daku dalam mencari kehambaan terhadap-Mu.....ampunkanlah daku....

Assalamualaikum

Nama

E-mel *

Mesej *

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...