Rabu, 18 Disember 2013

Sweetheart




Tegakkan Allah dan agama di hati, nescaya akan tertegak di bumi. Ungkapan ini sangat mendalam maksudnya. Bagaimana dikatakan dalam hati boleh sampai ke bumi? Sering kita sebut dalam pengajian tarbiyyah kita juga, tujuan kita belajar adalah untuk memperbaiki diri dan orang di sekeliling kita. Begitu juga dapat dirungkaikan disini bagaimana peranan hati kita dalam berjalan di arus dunia hari ini. Betapa besarnya peranan hati. Jika kita berada di jalan raya, ada pesanan yang sampai kepada kita, hati-hati ya. Dua kali perkataan hati disebut. Hati itu sukar dijaga dan mudah berbolak balik. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak balik dari air yang menggelegak. Astaghfirullah, semoga kita sentiasa di jalanNya. Kita disaran juga dalam setiap kali doa untuk berdoa dengan doa ini :Ya Allah yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami ke atas agamaMu. Apabila dalam rumahtangga, suami isteri akan keluar perkataan my sweetheart. Jika perkataan ini, maksudnya kekasih hati. Ada hati juga di sini. Betapa sayangnya sehingga mengaitkan kekasih (suami atau isteri) dengan hatinya. Hati ini rupanya sangat dekat dengan pemiliknya, begitu juga hati sangat dekat dengan Penciptanya. Kerana itu, kita perlu berhati-hati dalam menjaga hati. Dalam Hadith yang berkaitan dengan hati juga salah satu tanda hati itu dekat dengan Allah, Pencipta hati. 


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengarRasulullah SAW bersabda:Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Jadi mengambil balik yang dikuningkan diatas, dari hati terbentuk niat dan dari niat menuju kepada Allah dan RasulNya jika itu yang diniatkan, maka akan sampailah kepadanya. Begitu dekat rupanya hati kita dengan Allah dan RasulNya. Kita juga boleh meletakkan Allah dan RasulNya menjadi sweetheart diri kita. Masukkan ke dalam hati kita. Dengan masuknya kekasih (Allah dan RasulNya) dalam diri kita, maka akan terciptalah perasaan apabila kita melakukan suruhan Allah dan juga sunnah Rasulullah saw. Bagaimana tercipta perasaan ini? Kita akan lebih menjiwai dalam solat, lebih merasai setiap bacaan al Quran yang terlafaz dari bibir kita, Melebihi dan melebihi. Melakukan solat kerana rasa syuur (berperasaan) akan melahirkan rasa takut dan harap kepada Allah swt. Bagaimana takut? takut dengan dosa-dosa yang ada dan berharap Allah mengampuni setiap dosanya. takut dengan lafaz-lafaz kata yang terlebih dan berharap mendapat keampunanNya. Dengan inilah kecintaan pada Allah akan dapat dirasai.Mahabbatullah. Cinta Allah bermula dari hati kita. Mari kita sama-sama berkata pada hati kita. "Wahai hati, apakah yang ada dalam hatimu?" Wahai hati, masukkanlah Allah dan Rasulullah saw dalam hati, agar ia dapat menjadi sweet iaitu manis. Kerana kemanisan itu juga jaminan kita berada di dunia ini dan akhirat sana. 


Dari hati keluar menjadi takut dan harap. Kaki juga akan terpengaruh dengan bisikan atau apa yang ada dalam hati kita. Jika kita masukkan Allah dan Rasulullah saw dalam hati, kaki juga akan membuktikan cinta hati kita. Bagaimana? melalui langkah-langkah kita menuntut ilmu, langkah kita menuju usrah, langkah kita membuka usrah baru, langkah kita mengajak orang lain kepada kebaikan, langkah dalam menepis perkara yang Allah larang, mencegah yang mungkar. Mulut juga akan terpengaruh dengan hati kita. Pengucapan yang lahir dari bibirnya lebih berhati-hati, bimbang percakapan ini menghiris hati sahabatnya, bimbang berbicara perkara yang sia-sia. 

Begitulah para sahabat yang sering kita dengar kisahnya. Bagaimana Ubaidillah Ibn Jarrah, dengan cinta Ilahi, musuh diperangi walau musuh itu yang rapat dengannya. Kisah Kaab Ibn Malik yang tidak ikut perang, didenda dengan dipulau.Namun ,kerana cinta Allah dan Rasulullah diterima pemulauan itu dengan cinta, ujian itu utuh bertahan sehingga akhirnya mendapat perkhabaran dalam firmanNya, manis dirasa. Cinta itu melebihi,kerana itu mampu digagahi. Kisah Siti Hajar dan anaknya, keseorangan di tanah tandus apabila merelai pemergian suami kerana Allah. Mampu mengharungi, walau ujian perit di mata dan fizikal. SubhanaAllah. Kisah itu kita semua tahu. Malah seluruh dunia juga tahu. Inilah akhirnya, dari hati kita tegakkan, akan tertegak di bumi. Bagaimana utuhnya iman-iman yang meletakkan Allah dan RasulNya dalam diri, nescaya akan tertegak di bumi.
Muhasabah semula hati kita. Bukan sahaja hari ini kita perlu muhasabah, tetapi setiap detik dan saat kerana hati ini perlu sentiasa perbaharui niat Lillahi Taaala. Wallah A’lam. Allah segala-galanya. KepadaNya dan untukNya.;)

Assalamualaikum

Nama

E-mel *

Mesej *

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...