Rabu, 10 November 2010

AYUH MENGATUR LANGKAH




Alhamdulillah masih boleh berkongsi suarasa seketika. Bersyukur kerana masih diberi ruang dan masa. bersyukur kerana masih sempat untuk membetulkan diri yang alpa, bersyukur masih punyai sahabat2 yang saling ingat mengingatkan dan bersyukur berada dalam organisasi dakwah kerana kita diikat dengan banyak hal yang asasnya ialah iman dan amal. Matlamat perjuangan organisasi dakwah diinspirasikan oleh al-Quran dan Sunnah, juga Sirah sebagai panduan. Dalam erti kata lain, perjuangan organisasi ini tidak dipandu oleh sesuatu yang bersifat materialistik mahupun duniawi.

Bahkan antara asas penting yang menyatukan para pendokong dakwah ialah ukhwah, sesuatu yang tidak cukup diterjemah sekadar dengan butiran kata mahupun bait tulisan. Serendah-rendahnya berlapang dada, setinggi-tingginya ialah itsar. Kata seorang akhwat, “ ukhwah itu adalah tali yang mengikat hati-hati para du’at, sekiranya ia tidak dikenali dan terputus, maka akan bercerailah hati-hati tersebut dan itulah bahana yang paling buruk dalam dakwah ini”. Nilai ukhwah ini tidak dapat ditukar dengan apa sekalipun, kerana kesannya pada hati membekas buat selamanya sekali ia terpaut.

Semua manusia pernah disentuh atau tersentuh dengan tarbiah. Tarbiah mengajar banyak perkara berkaitan kekuatan akidah, ikatan hati dan ukhwah. Semuanya mudah dengan petunjuk Allah terutama kepada mereka yang mendapat hidayah dan petunjuk untuk menggabungkan diri dalam gerabak dakwah. Kerana kemanisan ukhwah itulah yang pertama sekali dirasa. Senyuman dan kehangatan sambutan akhwat dirasakan seolah-olah sudah lama dikenali, megajak dan sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Bersama-sama!, mungkin ada yang tertanya ‘masih ada orang sebaik mereka di dunia ini?’. Kemesraan ini sukar sekali untuk dilupakan kerana kita dihiburkan dengan kemanisan ukhwah di atas iman, berbeza ukhwah bukan keranaNya.


Namun berhati-hatilah, kerana salah satu virus ukhwah ialah kita terlampau menyayangi seseorang itu, sehingga kita berlebihan dalam usaha mendapat dan memberikan sayang dan cinta tersebut. Juga yang dikatakan berlebihan itu ialah terlampau bergantungnya kita kepada al-ukht tersebut, sehinggakan kita tidak sanggup berpisah dan dipisahkan darinya. Berhati-hatilah, kerana ukhwah itu juga ada haknya, apabila ia tidak dipenuhi, maka kita akan melihat bencana berlaku bermula dari dalam diri kita sendiri. Ukhwah yang diraikan tanpa haknya (menegur, menasihat, membetulkan, dll) bukanlah ukhwah, tetapi hanyalah rasa yang dibentuk-bentuk oleh perasaan dan jiwa kita sendiri tanpa ada panduan yang jelas.

Jangan bertangguh2 lagi wahai semua manusia yang bergelar hamba dan khalifah Allah. Sekiranya kita menunggu untuk dibelai-belai dan dimanja-manja, maka kita akan ketinggalan dalam mengadaptasikan diri ke dalam medan seterusnya memberi kejutan kepada amal kita, sehingga tidaklah mengejutkan kalau-kalau kita memilih untuk futur. Usah menunggu orang lain menjalin ukhwah kepada kita, tetapi kitalah yang menjalin ukhwah. Ana dan ukhti juga bermula dengan saling tidak mengenali. Berkenalannya kita kerana hadir seseorang untuk mengenali kita. Alhamdulillah di sini hati-hati kita terpaut. Terlakar indah di dalam Al Quran Allah berfirman: “Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (8:63)

Ukhwah juga penting dalam membentuk sinergi kumpulan untuk menghasilkan natijah yang mantap. Keserasian perlu dibentuk dan disemai sesama akhwat. Di sini perlunya kita untuk mujahidah dalam diri mencari iman yang hakiki, telus, ikhlas kerana Allah swt. Dalam beramal dan ibadah sememangnya perlu menghadirkan syuur (perasaan) cinta kepada Allah. Natijah akhirnya akan memperolehi nikmat takut dan harapan hanya kepadaNya. Jika tidak ada perasaan ini, kosong ukht. Astaghfirullah. Hanya Allah yang mampu menilai keikhlasan hati. Moga kita cuba membangkitkan perasaan itu!

Kenalilah akhwat yang ada bersama kita. Tidak cukup sekadar mengetahui namanya sahaja. Bekerjalah untuk mengetahui apa yang digemarinya apa yang tidak digemarinya. Kemampuan kita untuk mengiktiraf kemahuan dan ketidaksukaan seseorang itu akan membuatkannya lebih setia dan kagum pada lafaz ukhwah yang kita sebutkan. Penuhilah pula hak-haknya, mendoakan mereka, menasihati apabila diminta, menegur apabila perlu, dan seperlunya.

Hakikat yang kita perlu bersedia untuk hadapi ialah, ukhwah yang hangat boleh dirasai semasa berada di mana sekalipun, meskipun di celah kesibukan study, lab report, peperiksaan serta kuiz yang menderu datang. Sungguh hebat tautan hati itu tetapi tidak akan dapat dirasai apabila kita kembali ke medan amal yang sebenar. Bukan sepanjang masa kita akan bertemu dengan akhwat sekalipun duduk serumah. Masing-masing dengan kesibukan masing-masing, setiap orang dengan tanggungjawabnya pula. Mereka yang asyik dalam ukhwah, ketika inilah kita akan diuji. Kita akan diuji dengan kesunyian, kebosanan, kekeringan, dan sebagainya. Syaitan tidak akan putus asa melemahkan ikatan hati para du’at, sehinggalah kita merasakan bahawa kita tidak penting di mata akhwat.

Bangkitlah, bangkitlah dari mimpi enak yang direka-reka penuh angan dan kembalilah berpijak di bumi nyata. Kita tidak hidup seorangan di atas muka bumi, dan semua orang punya urusan masing-masing yang tersendiri. Sekiranya kita berasa lemah dan ingin futhur, maka kita sendirilah yang keluar mencari ukhwah dan mendidik dzatiyyah kita yang lemah untuk terus kuat berdiri meskipun akhwat tiada di sisi. Akhwat bukan tidak boleh meluangkan masa untuk kita, namun bukan selamanya masa akhwat adalah untuk kita.

"Cintailah kekasihmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi musuhmu pada suatu saat nanti. Dan bencilah musuhmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi sahabat dekatmu pada suatu saat nanti." [Hadith riwayat Imam Bukhari dan at-Tirmizi].


Percayalah, sekalipun kita terasa lemah, izzah sebagai seorang dai’e itu akan tetap membara apabila kita menyebarkan benih ukhwah kepada orang lain, meskipun dia bukan akhwat kita. Sebarkan ukhwah dengan melakukan Dakwah Fardiyyah kepada orang yang kita tidak kenali. Apabila kita bergaul dengannya, cubalah sebaiknya mengenali mad’u tersebut. Apabila hidup bersama dakwah, secara semulajadinya kita akan mengeluarkan kalimah-kalimah thoyyibah, dan saatnya kita melihat reaksi dan respon daripada mad’u itu akan mengecas semula semangat kita yang lemah. gerakkan semua anggota kita untuk terus melangkah dan melangkah. Jangan pernah jemu. Kerana janji Allah tetap ada untuk hambanya yang beramal walaupun sebesar-besar gunung kinabalu yang cantik mahupun sekecil-kecil butir pasir yang memutih. Semuanya dengan izin Allah SWT.

2 ulasan:

Unknown berkata...

keep writing.. alhamdulillah.. moga Jaa terus teguh membina generasi masa depan..

Ja'a Nasrullah berkata...

Doakan ukhti. Moga iktan kita bina hingga ke akhirnya.

Assalamualaikum

Nama

E-mel *

Mesej *

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...