Khamis, 25 Julai 2013

Keberanian seorang Ibu


Suasana di rumah semakin tegang. Empat beradik ini masing-masing tidak mengalah. Mereka menuding jari kepada satu sama lain; berkeras tidak mahu tinggal di rumah untuk menjaga ibu kesayangan mereka yang sudah tua. Ternyata setiap daripada mereka berlumba-lumba untuk turut menyertai ekspedisi jihad menentang tentera Parsi pimpinan panglima besar Sassanid, Rostam Farrokhzad.

   Ibu mereka, al-Khansa' binti Amru yang memeluk Islam ketika di Madinah adalah seorang penyair terulung yang mendapat pengiktirafan dan merupakan kesukaan Rasulullah S.A.W.

   Perbalahan empat beradik ini sampai ke pengetahuan Khansa'. Hati tuanya sangat memahami kemahuan anak-anaknya ini. Masakan tidak, dialah yang membesarkan mereka dan menanamkan rasa cinta kepada jihad dan mati syahid dalam hati anak-anaknya. Lantas dia mengambil keputusan, tiada siapa yang akan tinggal di rumah kali ini. Semuanya akan pergi bersama-sama, termasuklah dirinya.

   Angkatan tentera kali ini diketuai oleh Saad bin Abi Waqas, dan beliau memilih al-Qadisiyah sebagai tempat pertempuran antara tentera Islam dan Parsi. Hari pertama perang al-Qadisiyah amat sukar bagi tentera berkuda Islam yang berhadapan dengan tentera bergajah Parsi. Pada malamnya yang hening itu, Khansa' memecahkan kesunyian malam- menyampaikan pesanan seorang ibu kepada anak-anaknya.

   "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera daripada seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu tentang pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum Muslimin dalam memerangi kaum kafir itu (akhirat) lebih baik daripada tempat yang binasa (dunia)."

   Lalu Khansa' membacakan firman Allah dalam surah ali-'Imran ayat ke-200 yang bermaksud: " Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung."

   Khansa' menyambung : " Jika kalian bagun esok pagi, insya-Allah, dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh-musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan daripada Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Semoga kamu akan berjaya mendapatkan balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."

   Hari kedua pertempuran menjadi saksi keempat-empat anak muda ini mengejar syahid. Seorang demi seorang melaungkan syair jihad dan mengingati pesanan ibu mereka, sebelum mereka meluru ke medan pertempuran dan kem-kem musuh. Tercapai cita-cita setiap daripada mereka untuk mati syahid.

   Apa reaksi Khansa' apabila mendengar berita tersebut? Jika dahulu kematian dua saudara yang sangat dicintainya, Muawiyah dan Sakhr diratapi sehingga bengkak-bengkak matanya, disertai dengan syair-syair meruntun jiwa, tetapi kini hanya sebaris tahmid dan doa mengiringi kesyahidan empat orang anaknya. " Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan kematian mereka. Aku berharap kepada-Nya agar mengumpulkanku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya."


Tiada ulasan:

Assalamualaikum

Nama

E-mel *

Mesej *

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...