Jumaat, 23 Ogos 2013

Menghindari tekanan



Pengaduan kepada Allah SWT

Adu segala permasalahan kepada Allah SWT dengan mengerjakan solat sunat dua rakaat, berzikir, membaca al-Quran dan berselawat ke atas Rasulullah SAW.

"Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (ar-Ra'd 13:28)

"Sesungguhnya Akulah Allah;tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (Taha 20:14)

Rasulullah SAW juga ketika dilanda kesulitan, baginda sentiasa mencari ketenangan dengan mendirikan solat sunat. "Dijadikan kesejukan mata hatiku dalam sembahyang."

Baginda SAW bersabda kepada Bilal bin Rabah r.a., "Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat. " (al-hadith)

Dalam sebuah riwayat, Rasulullah SAW telah bersabda kepada Bilal, "Wahai Bilal! Bangunkan (untuk azan) rehatkan kami dengan solat." (Riwayat Ahmad)

Ternyatalah mengingati Allah SWT melalui solat itu dapat memberikan ketenanagn jiwa dan menstabilkan emosi.

Salurkan Tekanan Dalam bentuk aktiviti

Antara aktiviti yang boleh dibuat ialah menjahit, menggubah, mengemas, membaca dan bersenam. Kepuasan yang diperoleh daripada melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dapat merehatkan badan dan minda, kesan daripada rembesan hormon Endorphins.

Luahkan tekanan kepada orang lain

Sentiasa berhati-hati dalam memilih teman untuk berkongsi luahan. Pastikan teman anda ialah seseorang yang dipercayai dapat memberikan nasihat yang baik dan amanah dalam menyimpan rahsia. Setiap kali anda meluahkan tekanan, sebahagian bebanan itu terasa ringan walaupun teman anda hanya sekadar mendengar.

Peringatan: Elakkan melampias tekanan kepada orang lain dalam keadaan marah kerana dikhuatiri anda 'menyebarkan' tekanan kepada orang lain pula. Sebaik-baiknya hendaklah berdiam diri dan bertenang.

Memaafkan diri sendiri Dan orang lain

Manusia ialah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak maksum, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kita tidak terkecuali daripada menyinggung perasaan orang lain dan sikap orang lain juga berpotensi menjadi punca tekanan dalam kehidupan seharian kita. Tiada manusia yang dapat meneka dan mengerti isi hati orang lain. Jika kita merasakan tekanan yang dihadapi berpunca daripada sikap individu tertentu, leraikan kekusutan melalui perbincangan tenang dan diakhiri dengan bermaaf-maafan antara satu sama lain seikhlas hati.

Cipta kedamaian hati dengan memaafkan kesilapan diri sendiri dan orang lain sekaligus mengangkat martabat diri ke tahap yang lebih baik, insya Allah.

Renungan bersama;
Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda, "Tidak akan berkurang harta kerana bersedekah dan tiada seorang yang memaafkan kesalahan orang melainkan ditambah Allah SWT akan kemuliaannya."

Memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu akhlak yang mulia dan utama , sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

"Ya, Uqbah! Mahukah kuberitahu kepadamu tentang akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama? Iaitu menyambung silaturahim terhadap orang yang memutuskan hubungan denganmu, memberi kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu, dan memaafkan orang yang pernah menganiayamu." (Riwayat Hakim)

Petua meredakan tekanan

Kita juga boleh meredakan tekanan dengan memanfaatkan fadhilat dan keberkatan surah al-Insyirah. Bacalah surah ini berulang kali. Dengan menghayati surah tersebut, hasilnya kita dapat merasakan kelapangan dan ketenangan jiwa.

Diambil dari ruangan psikologi Wanita Majalah Mukminah pemberian seseorang.

***********************************************************************

Semoga kita masih lagi diberi hidayah oleh Pencipta kita, Allah swt yang Maha Penyayang. Fitrah manusia juga bersifat lemah. PadaNya punya kekuatan. Pintalah kepadaNya kekuatan. Insya Allah, Allah akan menghadirkan kekuatan itu kepada kita. Jika kita tidak berusaha dengan cepat menghalau permasalahan yang kita ada, bimbang ia akan membarah di dalam jiwa dan timbul penyakit yang sukar diubati pula. Mudah-mudahan permasalahan yang kita ada dapat dihindari dengan cepat kerana kita masih punya banyak tanggungjawab dan hak orang lain yang perlu ditunaikan. 

Seperti selalu kita mendoakan di dalam solat sunat Dhuha: Kekuatan itu adalah kekuatanMu, rezeki itu adalah rezekiMu,...................................................Berikanlah pada hamba sepertimana yang telah Engkau beri kepada hambaMu yang soleh. Mudah-mudahan Allah hindari kita daripada permasalahan yang panjang dan semoga kita sentiasa dalam lindungan dan hidayahNya Insya Allah.

Tiada ulasan:

Assalamualaikum

Nama

E-mel *

Mesej *

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...